Tuesday 30 September 2008

Catatan Anekdot Bayu - Special Part II

Meriah benar malam itu. Ummi sibuk di dapur bersama Adik menyediakan ketupat dan rendang. Along dan Angah membantu Abah di laman rumah memasang pelita dan lampu lip-lap menyinari kegelapan malam itu dengan kemeriahan. Anak-anak kecil jiran berlari-lari riang bersama kilauan bunga api. "Hati-hati sikit main bunga api tu!" laung Nek Da sebelah rumah. Risau pula melihat cucu-cucunya itu, kalaulah tercucuh di mana-mana mahunya berparut rayanya esok.

"Along, Achik mana?" tanya Abah.
Berlalulah sudah Ramadhan, sebulan berpuasa,
Tiba Syawal kita rayakan, dengan rasa gembira...
Anak muda di rantauan, semuanya pulang ke desa,
Ibu dan ayah keriangan, bersyukur tak terhingga...
Anuar Zain dan Ellina menemaninya di bilik malam itu. Lagu yang sentiasa terngiang-ngiang di telinganya apabila saat ini tiba. Dia sangat gembira di samping keluarga hari ini. Sudah terlalu lama berjauhan. Sudah banyak tahun tidak meraikan Aidilfitri bersama. Kini, Syafiq pulang ke tanah air. Meriah dia melihat suasana raya di halaman sendiri dari jendela biliknya itu.

"Achik, Abah minta tolong ni! Turunlah!" laung Along dari bawah.
"Raya, raya, oh raya..." ngomelnya sendirian keluar dari bilik untuk turun membantu mereka.

*** ***** *** ***** ***

Di pagi raya Along terjaga awal, walaupun ke kamar tidur lewat di malamnya. Tanpa kantuk, dia segera bungkam dari tilam empuk yang melapik dan gebar selimut yang menyelubungi.

Excited!

Adik, Angah dan Along berebutkan bilik air yang satu itu. Semua bangkit awal, semua mahu bersiap hias awal di hari istimewa itu. Syafiq dah sedia maklum, lantas terlantar lagi di katil bujang tumpangannya. Dia pinjam bilik Along. Dah terlalu lama dia tidak di rumah, maka dia kini tiada bilik sendiri.

Siap sudah masing-masing. Syafiq turun memerap di dapur dengan mata kuyunya di meja, meratah ayam goreng bakal santapan di pagi itu. Ummi dah mula bising dari atas, arahnya segera mandi dan bersiap. Merangkak malas dia di tangga.

"Oh, aku rindukan semua ini!"

Sedang khusyuk Syafiq mandi, Adik melaung dari bawah, "Achik, Kak Ina dah datang!" Dari malas dia berubah segar, tiba-tiba gesa. "Tunggu kejap! I'm coming!"

Bergegas mahu turun tangga. Dah bukan Syafiq si pemalas mata kuyu awal pagi, tapi kini si kacak pujaan bunga di Aidilfitri.

"Amboi Achik, wanginya!" perli Adik.
"Eh diamlah kau, Adik!"

Bergegas Syafiq turun tangga. Namun, malang tak berbau...

GEDEDANG!!!

"Aiseh, macam mana boleh jatuh katil pula ni?! Ah, mimpi ke? Ina!!! Tidak, hari ni raya tapi tak cuti! Raya sendiri-sendiri pula tu!!!" raung Syafiq sendirian dalam bilik di tepi katil mengurut lengannya yang sakit jatuh ke lantai itu.

"Oi, Syafiq! Tak nak siap pergi sembahyang raya ke? Apalah mengigau pagi-pagi raya ini," kedengaran suara Khairul dari luar biliknya itu.

"Ya lah, ya lah... Aku nak bersiaplah ni. Tunggu kejap..." jawabnya lemah dan pasrah.

Pasrah...

***** *** ***** *** ***** *** *****

Kala bulan nan mulia ini,
Daku hulur salam dari kejauhan.
Di ambang detik keraian,
Daku susun sepuluh jemari keampunan,
Moga keberkatan Ramadhan,
Bawa gumbira di Aidilfitri.


1 comment:

Hann Haidar said...

syafiq is imran heh?