Friday 27 February 2009

Catatan Anekdot Bayu - Part III

Hampir senja baru Khairul pulang. Menemani Tina berjalan balik sebelum dia sendiri melangkah pergi. Siang hari pada hujung minggu terisi berteman. Tak disangka. Namun, dia tetap sedikit senang hati. Walaupun dalam hati mengomel sendirian lagi tentang Tina yang bertingkah comel mahu dibelanja makan. Apa-apa ajalah!
“Assalamualaikum…” ucap Khairul di hadapan pintu sambil melangkah masuk.
“Waalaikumussalam. Aku di dapur ni.”
Teman serumahnya, Syafiq sedang sibuk memasak untuk makan malam. Aroma hidangan Melayu semerbak hingga ke pintu flat mereka.
“Sedap bau kau masak, Syafiq!”
“Pergi mana tadi?” tanya Syafiq dengan semacam nada.
“Keluar ke bandar, jalan-jalan.”
“Seorang?”
“Asalnya. Kemudian jumpa Tina. Lunch dengan dia.”
“Oh ok,” sudah Syafiq ringkas.
Musykil Khairul akan temannya itu. Marah? Merajuk? Atau lapar sangat menunggu waktu makan? “Kau tu kenapa, Syafiq? Sakit perut ke?” terus Khairul bertanya. “Tak ada apa-apa. Kalau nak makan dulu, makanlah. Tapi basuh semua periuk pinggan dalam sinki tu nanti, ya!” nada selamba yang ada makna.
Ya Rabbi! Maaf, Syafiq. Aku lupa!”
“Apa yang kau lupa?” ujar Syafiq.
“Lupa giliran aku yang masak! Maaf, ya?” tersengih Khairul.
“Iya lah. Aku nak tengok TV dulu.”
Walau begitupun, Khairul masih lagi hairan. Seolah-olah Syafiq benar-benar terganggu. Tapi Syafiq selalu begitu. Dan akan kembali normal selepas beberapa hari. Tak berani dia nak terlalu masuk campur. Biarkan aja dia buat kini, kata hati Khairul buat dirinya sendiri. Dia mencapai pinggan dalam kabinet. Nasi berlauk ayam masak merah dan sayur campur. Memang pandai si Syafiq itu memasak. Khairul – hanya cukup syarat. Bukanlah tak tahu memasak langsung.

Sudah makan, Khairul menuju ke biliknya. Dibiarkan semua pinggan mangkuk itu tinggalkan tak berbasuh di dalam sinki.
“Khairul, takkan sinki nak biar penuh macam tu aja?” laung Syafiq dari ruang tamu mereka.
“Panggil aku bila kau dah sudah makan,” jawabnya ringkas.
Bersandar malas di kepala katil. Menghela nafas panjang. Mata merenung ke luar jendela dalam kelam malam. Renungan yang lebih jauh daripada pandangan matanya. Waktu yang selalu bagi Khairul kembali bersendirian dan bernostalgia.

Pandangannya beralih kembali ke ruangan biliknya itu. Almari baju, meja belajar, sistem stereo mini… Banyak benda tapi masih rasa kosong. Lampu di tepi katil bercahaya, menyuluh ke atas bingkai gambar kecil di situ. Ditatap seketika foto di dalamnya. Seketika. Khairul mengeluarkan dompet dan telefon bimbitnya dari poket seluarnya dalam rehatnya itu.

Trit, trit…” telefon berdering dalam tangannya. Khairul melihat skrin telefon memapar caller ID.
“Hello, Khairul. Mengganggu?” suara yang dia kenal.
“Hai, Tina. Tak apa, aku baru siap makan aja tadi.”
Mereka berbual sebentar. Tina lupa mengucapkan terima kasih kepada Khairul yang menemaninya siang tadi, dan terima kasih untuk makan tengah hari. Perbualan telefon yang cukup ringkas, setelah mendengar laungan Syafiq dari dapur minta dibasuh pinggan mangkuk di sinki mereka itu.

***** *** ***** *** ***** *** *****

maaf, kalian. lama benar tertangguh. tapi semangat baru muncul. yang terjaga dari lena panjang. mungkin sedikit mamai, tapi sudah sedar, walaupun belum segar. mahu lagi dan lagi kini!